TUARAN: Sabah bakal mengeluarkan satu lagi produk minyak masak tempatan yang dijangka akan dilancarkan bulan hadapan di Keningau.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Ia adalah produk minyak masak ketiga keluaran kerajaan negeri melalui dan produk baharu berkenaan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
“Kilang minyak masak berkenaan adalah di Keningau dan saya telah dihubungi oleh SLDB dan ia bakal dilancarkan bulan hadapan.
“Oleh itu saya yakin pembukaan kilang dengan produk minyak masak baharu itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pelbagai faedah kepada ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat beberapa kawasan, termasuk beramah mesra dengan penduduk di Skim Penempatan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di sini, hari ini.
Pada 3 Februari lepas kerajaan Sabah melakar sejarah apabila melancarkan jenama produk minyak masak sendiri, jenama BESS di Tawau yang diterajui syarikat Benta Wawasan yang kini mampu memproses dan mengeluarkan kira-kira 2,000 tan metrik minyak masak sebulan.
Selepas itu pada 4 Julai lalu Sabah sekali lagi melancarkan satu lagi produk minyak masak jenama ‘Gold’ di Sandakan yang dikeluarkan oleh syarikat milik kerajaan negeri Sawit Kinabalu.
Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya, Mohd Shafie berkata beliau yang ditemani oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong telah meninjau beberapa kawasan yang berpotensi untuk dimajukan di kawasan berkenaan.
“Banyak kawasan yang boleh dimajukan di Tuaran khususnya dari segi perikanan dan pertanian. Oleh itu kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah telah memperuntukkan sebanyak 40 lot di kawasan persisir laut di kawasan daerah ini untuk dijadikan pusat ternakan ikan.
“Lot berkenaan akan diberikan belia di kawasan ini dan kita juga akan membantu menyediakan benih ikan untuk memastikan ia dapat dimajukan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti beberapa kawasan di Kuala Penyu, Kudat, Kunak dan beberapa lagi daerah lain untuk melaksanakan program seumpama itu.-Berita Sabah