Pembinaan Jambatan Liau Dijangka Siap Februari 2024


LAWATAN:Arthur meninjau keadaan jambatan yang runtuh, awal tahun ini.


KOTA KINABALU
: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan jambatan kekal bagi mengatasi isu jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom KM 117.100 yang terputus akibat kegagalan struktur pembentung yang berpunca dari hujan lebat berterusan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Jospeh Kurup berkata, ia hasil lawatan kerja beliau bersama pengurusan Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Sabah pada awal tahun ini.

Jelas beliau, kementeriannya mengambil serius aspek keselamatan dan keselesaan dalam rekabentuk jambatan kekal terutamanya bagi memastikan risiko berlakunya kegagalan struktur dapat diatasi dengan menyeluruh.

"Sehubungan itu, kerja-kerja awalan bagi jambatan kekal sepanjang 30 meter telah dimulakan dan pembinaan jambatan kekal tersebut dijangka akan siap sepenuhnya pada Februari 2024.

"Berdasarkan kepada perancangan kerja pihak kontraktor, jentera akan mula masuk ke tapak pembinaan pada awal bulan September 2022.

"Kerja-kerja fizikal di tapak dijangka akan lebih rancak dalam usaha untuk memastikan projek pembinaan jambatan tersebut akan siap dalam tempoh yang telah ditetapkan, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan memberitahu, beliau bersama-sama agensi pelaksana, JKR Sabah akan sentiasa memberikan komitmen terhadap projek itu dengan memantau kemajuan kerja dari semasa ke semasa.

"Adalah menjadi harapan saya agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut spesifikasi dan jangka masa yang telah ditetapkan agar isu dan permasalahan yang timbul sebelum ini dapat diatasi sepenuhnya.

"Pembinaan Jambatan Sungai Liau mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan 'Keluarga Malaysia' di Sabah dapat menikmati ketersambungan perhubungan darat yang selesa dan selamat.

"Sepanjang tempoh pembinaan, Jambatan Bailey sedia ada akan dikekalkan sebagai jalan alternatif bagi memastikan perhubungan darat antara daerah Keningau dan Tenom tidak terputus.

"Saya turut berharap dan memohon kerjasama pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan di tapak pembinaan.

"Kesabaran para pengguna jalan raya di sepanjang tempoh pembinaan dalam kita menyediakan kemudahan infrastruktur yang baru amat dihargai, " katanya.


Sumber :Utusan Borneo



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama