Fiesta Makanan Etnik Bugis Mampu Tarik Lebih Ramai Pelancong Di Sabah



Kredit Foto: Mustafah Mappalappang

TAWAU
: Fiesta Makanan Etnik Bugis dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan di daerah ini dan bakal menjadi perintis untuk program yang lebih besar pada masa akan datang.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Mohd Yusrie Abdullah berkata program seumpama ini juga dapat menggalakkan penyertaan komuniti agar terlibat dalam industri berasaskan seni dan warisan budaya.

“Ia adalah salah satu fokus kementerian untuk membangunkan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya, yang pastinya akan menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.

“Saya melihat program yang julung-julung kali diadakan ini berlangsung sangat meriah dan mendapat sambutan menggalakan,” katanya ketika hadir mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, di sini baru-baru ini.

Katanya, pelbagai makanan tradisional etnik Bugis dipersembahkan dan disertai dengan tarian yang penuh adat budaya etnik itu.

“Antara 21 jenis makanan tradisi yang ada termasuk Berongko, Sikapuru, Kapurung, Baje, Palaya, Baulu Pecca, Sokko, Palopo, Tumpi-Tumpi, Beppalaya dan banyak lagi,” katanya.

Yusrie berkata, fiesta itu tidak hanya mengetengahkan keunikan adat dan budaya setiap kaum yang ada, tetapi ia juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai salah satu produk pelancongan penting di Sabah.

“Justeru, kerajaan menyokong penuh penganjurannya dan berharap ia dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi dengan penyertaan seluruh etnik di negeri Sabah,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Sumber : Utusan Borneo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama