Sawit Kinabalu Bayar Dividen RM30 Juta Kepada kerajaan Negeri




KOTA KINABALU
: Kumpulan Sawit Kinabalu membayar dividen berjumlah RM30juta kepada Kerajaan Negeri bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 yang merupakan dividen untuk suku kedua tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan penyampaian dividen berkenaan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong di Menara Kinabalu di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata syarikat itu berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM350 juta pada tahun lepas.

“Sejak tahun 1996, Kumpulan Sawit Kinabalu telah membayar dividen berjumlah RM1.3 bilion kepada Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Hajiji yang mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd memuji Kumpulan Sawit Kinabalu kerana melepasi sasaran keuntungan sebelum cukai sebanyak 222 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, syarikat ini telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM220.16 juta berbanding sasaran RM99.11 juta berikutan lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) iaitu RM6,215 setan metrik (MT).

“Bagaimanapun, saya mengingatkan pihak pengurusan bahawa harga MSM pada separuh kedua tahun ini dijangka akan menurun antara RM4,000/MT dan RM4,300/MT.

“Saya menyeru pihak pengurusan supaya mengambil tindakan proaktif dalam menangani cabaran dan juga peningkatan kos pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada pengurusan Kumpulan Sawit Kinabalu kerana memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Rakan Pemuliharaan daripada Jabatan Perhutanan Sabah dan Anugerah Jenama Terbaik Minyak Sawit 2021-2022 baru-baru ini.

“Sawit Kinabalu adalah syarikat industri minyak sawit pertama di Sabah memenangi Anugerah Jenama Terbaik.

“Ia menunjukkan Sawit Kinabalu berada di landasan yang betul dan saya berharap anugerah itu akan memberi motivasi supaya lebih bekerja keras bagi memastikan syarikat ini meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang dan Timbalan Pengerusi Borneo Samudera Sdn Bhd Khairul Firdaus Datuk Akbar Khan.

Sumber : Utusan Borneo







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama