10 individu sindiket seleweng wang dibawa polis ke mahkamah bagi perbicaraan
KOTA KINABALU: Seramai 10 individu termasuk pengurus bank didakwa di Mahkamah hari ini (Khamis) atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Sebelum ini, kesemua individu tersebut dipercayai terlibat dengan sindiket curi wang akaun simpanan tetap milik pelanggan yang dianggarkan bernilai RM24.7 juta.
Bagaimanapun, tiada pengakuan dari kesemua tertuduh yang melibatkan tujuh lelaki dan tiga wanita selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh Josepin J. Langkan dalam tempoh bermula 26 April 2024 hingga 1 Julai 2024.
Senarai tertuduh adalah, Josepin J. Langkan (dipercayai ketua), Vireonis Jonok yang masing-masing diwakili peguam Hairul V Othman dan Luke Ressa Balang.
Seterusnya adalah, Leong Hin Ping, Sugumaran a/l K. Ponniah dan Nasir Abdul Rashid yang diwakili peguam Dominic Chew.
Manakala, Mazlani Jenuary, diwakili peguam Datuk Marzuki Spawi dan tertuduh Subramaniam a/l Thangavelu yang diwakili peguam Datuk Ram Singh.
Selain itu, Iren Chin Nyuk Thien yang diwakili oleh dua peguam, iaitu Mohd Al Hafidz Mohd Lokman dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi manakala Christina@Caroline Pianus diwakili peguam Arthur Borine.
Selain itu, tertuduh yang terakhir, Hasran Magin pula tidak diwakili peguam.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh akan dihukum penjara dalam tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada 20 tahun.
Hakim seterusnya menetapkan 13 September 2024, pukul 9 pagi untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh ditahan sepanjang tempoh tersebut.
Selasa lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sebelum ini menahan seramai 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Manakala, pada 15 Jun lalu media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta.
Ramli dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lalu di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.