Bincang isu semasa tempatan dengan SKMM: Nizam

 Terima kasih..Nizam menyampaikan cenderahati kepada Ranahwaty di Pejabat SKKM, Menara MAA di sini pada Selasa

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha untuk mencakna pengetahuan semua pihak khasnya berkenaan isu semasa tempatan perlu seiring dengan perkembangan dan peruntukan undang-undang komunikasi dan media.

Katanya, hal itu adalah bagi memastikan tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya menjadikan sesuatu isu yang tidak wajar sebagai sebuah kandungan media, seterusnya ditularkan dan memberi pengaruh negatif kepada masyarakat.

"Apa saja kandungan dan isu semasa khasnya kita di Sabah, kalau boleh, kita mesti kembali berpegang kepada asas dan adab dalam berkongsi kandungan.

"Kadang kala disebalik keghairahan menggunakan media sosial dan sebagainya, ada diantara kita yang leka dan cenderung untuk melanggar undang-undang dan akta yang sudah diperuntukkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam sebuah kunjungan hormat kepada Pengarah SKMM Wilayah Sabah, Ratnawaty Talib, di sini pada Selasa.

Rombongan yang diketuai beliau itu turut disertai oleh Biro Penerangan PGRS.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, tujuan utama kunjungan hormat itu diadakan adalah bertujuan bagi memperkukuh hubungan di antara SKMM dan Biro Penerangan PGRS, selain membincangkan isu-isu semasa.

Dalam pada itu, Nizam turut berkongsi pandangan dan mencadangkan SKMM Sabah untuk mewujudkan satu seksyen yang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menghukum kesalahan yang berkaitan dengan buli siber 'cyberbully'.

"Era digital hari ini telah menjadikan platform media sosial sebagai rutin, rutin yang mana sudah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat, menawarkan peluang yang tiada tandingan untuk perhubungan, komunikasi dan pembinaan komuniti.

“Kita semua perlu bangkit menentang segala bentuk buli dan singkirkan orang toksik daripada merosakkan komuniti alam maya.

“Jangan biarkan pembuli siber berleluasa, menjejaskan individu dari semua peringkat umur dan latar belakang termasuk memfitnah pemimpin, bersikap mengganggu, mengancam, menghina dan merendahkan seseorang," katanya lagi.

Tambah Nizam lagi, buli siber adalah sebuah tindakan tidak bermoral yang sewajarnya ditepis dan tidak wujud dalam komuniti masyarakat tempatan.

"Tidak seperti buli tradisional, buli siber berbahaya kerana boleh berlaku 24 jam sehari, tujuh hari seminggu selain tiada sempadan masa dan tempat,” kata Nizam.

Jelasnya, pembuli siber berani bertindak demikian kerana berselindung di sebalik nama samaran dan akaun palsu dengan sewenang-wenangnya membuat komen jelik, ugutan dan hinaan.

"Bila identiti rahsia, mereka berani, tindakan tersebut kemudian memberi kesan emosi dan psikologi ke atas mangsa sehingga boleh menyebabkan tekanan dan  kemurungan serta dalam kes yang teruk mencederakan dan membunuh diri.

"Oleh itu, semua pihak harus tahu sempadan serta had dalam membenarkan diri mereka di buli di alam siber selain bijak menjauhi atau menyekat golongan pembuli berkenaan," jelasnya lagi.

Katanya, kebanyakan platform media sosial menawarkan alat untuk menyekat pembuli siber selain boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Turut hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Pegawai Kerja Biro PGRS Sabah Halil Rufili, Ketua Wanita PGRS Likas Halizah Din, Ketua Penerangan Pemuda PGRS Sabah Barhul Sahibu dan ahli jawatankuasa Biro Penerangan Julia Abt.

Terbaru Lebih lama