Henti sebar kenyataan palsu tentang mendiang bapa saya: Vivian

 

Shafie (kiri), Vivian (kanan)

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong menyelar tindakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyebarkan kenyataan palsu berhubung mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong.

"Tidak sepatutnya beliau (Shafie) menjadikan topik berkenaan mendiang untuk tujuan propaganda dan apabila beliau berbuat demikian, seolah-olah beliau tidak menghormati mendiang bapa saya dan pengikut-pengikutnya.

"Mendiang bapa saya tidak menyokong atau menyukai perihal berkaitan pengkhianatan, apatah lagi yang melibatkan rakan seperjuangan, sungguh mengecewakan kerana beliau (Shafie) boleh bersikap sedemikian," katanya.

Tambah Vivian lagi, dalam Pilihan Raya Negeri 2020, DAP adalah rakan sekutu Warisan tetapi dikhianati pada tahun  2022.

"Kami yang dikhianati, lihat saja beliau (Shafie) menerima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong yang sebenarnya mengkhianati rakan seperjuangan DAP," katanya lagi.

Vivian yang juga merupakan Setiausaha Publisiti DAP Sabah itu turut meminta Shafie untuk menarik semula kenyataan tidak berasas yang dikeluarkannya. 

"Beliau perlu berjanji untuk tidak lagi menyebarkan informasi yang salah atau tidak tepat seumpama ini, dalam apa jua keadaan termasuk acara keramaian politik.

"Keluarga saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya jika masih berterusan," jelasnya lagi.

Shafie terdahulu semasa berucap bersama komuniti Cina di Restoran Makanan Laut Kenalanmu di Sandakan membuat kenyataan itu pada malam Sabtu, dalam siaran 'live' melalui platform media sosial Facebook.

"Bapa saya adalah seorang ketua dan pemimpin yang setia, berintegriti dan berjuang untuk kebajikan rakyat serta pengikut, termasuk pembangunan negeri Sabah, hingga di saat akhir hayat beliau," ujar beliau lagi.

Terbaru Lebih lama