Imigresen Sabah usir 104 PATI Indonesia

PATI Indonesia dihantar pulang. (Gambar ihsan Jabatan Imigresen Sabah) 

TAWAU: Jabatan Imigresen Sabah mengusir 104 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia dalam melaksanakan Program Pemindahan Tahanan di Tawau, semalam. 

Proses itu membabitkan seramai 78 lelaki dan 21 wanita selain lima kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Kesemua mereka dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia. 

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Datuk SH Siti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Kesemua PATI yang ditahan adalah tertakluk dengan Kerjasama strategik daripada Konsulat Republik Indonesia Tawau.

"Operasi kali ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kita dalam mengatasi masalah kebanjiran PATI khasnya di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini pada Rabu.

Tambahan beliau lagi, Imigresen Sabah sentiasa komited dalam melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

"Kita tidak akan membiarkan PATI sewenang-wenangnya dan kita mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang melanggar undang-undang,"ujar beliau lagi.


Terbaru Lebih lama