KOTA KINABALU: Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin menegaskan dan mengingatkan UMNO Sabah agar tidak mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kemelut politik tempatan, kesan daripada ketidakhadiran pemimpin itu ke Himpunan BN Sabah di Sandakan, baru-baru ini.
Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan terhadap Anwar sebagai mengkhianati rakan sekutu itu tidak seharusnya berlaku.
"Ini tidak patut berlaku, kenapa pula PMX dikatakan khianat?
"Pada waktu tersebut, PMX mempunyai komitmen lain dan sudah tentu beliau perlu mengutamakan hal-hal yang dirasakan wajar terlebih dahulu.
Tambahnya lagi, tohmahan seumpama itu adalah bersifat tidak matang dan melulu.
“Saya tidak faham kenapa ramai orang UMNO Sabah, khasnya penyokong kuat Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, nyata membuat tuduhan melulu.
"Hanya kerana PMX tidak
dapat hadir, mereka melabelkan beliau sebagai khianat kepada rakan sekutu," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari laman Facebook.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Anwar sebagai pemimpin utama negara perlu memfokuskan kepada perkara yang sesuai mengikut kepentingan dan susun atur yang telah dirancang atau dikendalikan oleh pihak pejabat.
"Tentu saja sebagai seorang Perdana Menteri, tugas beliau menyeluruh, perlu menjaga semua negeri di seluruh negara.
"Pada hari perhimpunan itu, PMX menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang 2024 yang setiap tahun diadakan dan sudah menjadi
rutin acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri.
“Sepatutnya tanya dulu penganjur adakah PMX memaklumkan beliau akan hadir program tersebut?, jangan tuduh melulu," katanya lagi.
Jelasnya lagi, Bung Moktar dilihat mahu menyaingi Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang telah menjemput Ketua Menteri Sabah pada program UMNO Tuaran pada bulan lalu.
“Kita faham jika Bung tidak mahu kalah dengan Rahman Dahlan sebab program UMNO Tuaran dihadiri oleh Timb.Perdana Menteri, Ketua Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan.
“Tetapi itu urusan dalaman kamu dan jangan heret PMX dalam pertelingkahan kamu," ujarnya lagi.