Joniston cadang konsep PBS 2.0 sebagai visi jelas masa depan parti

 

Joniston bersama Christopher (dua dari kiri)

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan konsep PBS 2.0 sebagai visi jelas untuk masa depan parti.

Katanya, cadangan inisiatif itu perlu dilihat sebagai usaha baharu untuk meremajakan parti yang berusia 39 tahun dan mengubah persepsi PBS  sebagai "parti orang tua".

"Ia harus dipandang sebagai parti yang mempelopori usaha menuntut hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan di dalam Perlembagaan.

“Kita harus memanfaatkan sejarah dan legasi PBS sebagai asas kukuh untuk memajukan dan mengembangkan lagi matlamat serta halatuju parti,” katanya.

Joniston berkata demikian dalam berkongsi pandangan beliau mengenai ‘The Way Forward For PBS’ di Seminar Platform Politik Anak Muda PBS, di sini pada Khamis.

Menurut Joniston, mungkin sudah tiba masanya untuk semua pihak mempertimbangkan PBS 2.0 sebagai daya usaha untuk benar-benar meremajakan parti supaya kekal relevan, dan memastikan PBS tidak ketinggalan, sebaliknya memimpin dalam amalan politik yang inovatif.

Beliau juga turut mencadangkan agar Sayap Pemuda PBS menerajui usaha merangka strategi yang praktikal serta boleh dilaksanakan dengan objektif dan sasaran yang boleh dicapai dalam proses meremajakan parti.

"Sebagai pemimpin masa depan PBS, ahli sayap pemuda parti wajar berada di barisan hadapan dalam usaha mengukuhkan lagi parti dan menarik lebih ramai ahli, terutama di kalangan generasi muda," katanya.

Beliau berpendapat bahawa konsep PBS 2.0 harus mewakili komitmen ahli terhadap pemodenan, keterangkuman, dan inovasi, sejajar dengan keperluan dan kepimpinan semasa.

"Inisiatif ini harus merangkumi strategi digital yang komprehensif, pemodenan strategi kempen, pemerkasaan belia dan wanita, dan yang paling penting, penglibatan generasi pengundi baharu.

“Saya melihat PBS 2.0 sebagai ‘call to action’ untuk semua ahli dan bukan sekadar pelan tetapi penggerak ke arah yang lebih cerah untuk parti kita, dan bagi saya, inilah ‘the way forward’ (pendekatan terbaik) untuk masa depan PBS,” katanya lagi.

Justeru itu, Joniston turut menekankan kepentingan penyertaan aktif dari semua ahli untuk merealisasikan konsep tersebut, di mana belia dan wanita boleh membantu merangka pelan pemodenan yang berkesan untuk parti.

Seminar itu turut dihadiri oleh ahli exco parti yang diketuai oleh Ketua Pergerakan Pemuda Pusat Christopher Mandut,  Setiausaha Exco Pemuda PBS Melon Yaming, Penyelaras Program Seminar Pemuda PBS Shahrun Nidzam Sharoom dan ketua-ketua pemuda bahagian.


Terbaru Lebih lama