KKM perkenal inisiatif 1R1JG

 

Edi Rizam Kassim (dua dari kiri) pada segmen 'Morning Kinabalu' di Konti Kupi-Kupi FM. (Foto Ihsan: JaPen Sabah)

KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi Malaysia telah memperkenalkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan yang akan berlangsung pada bulan Ogos. 

Penolong Pengarah (Kempen) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Edi Rizam Kassim, menyatakan bahawa inisiatif itu adalah bertujuan menggalakkan rakyat, khususnya di Sabah, untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah di rumah serta tempat awam. 

"Dalam kesempatan ini, kami di pihak JaPen Sabah menyeru masyarakat agar bersama memainkan peranan sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta Bendera Negeri Sabah dengan sempurna. 

"Dipohon agar setiap bendera yang dikibarkan dalam keadaan baik, tidak koyak, uzur atau lusuh," kata beliau dalam temubual di konti Kupi-Kupi FM pada segmen 'Morning Kinabalu' yang dikendalikan oleh DJ Niz dan Felix.

Edi juga memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti telah dirancang oleh pelbagai agensi termasuk JaPen Sabah sendiri untuk memeriahkan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Antara program yang akan diadakan adalah Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Perkarangan Bangunan DBKK pada 1 Ogos.

Terbaru Lebih lama