Kota Kinabalu catat sambungan paip haram tertinggi

 

Kerja-kerja memotong sambungan paip haram. Gambar sumber dari Facebook Jabatan Air Negeri Sabah


KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaporkan daerah ini mencatatkan penyambungan paip haram tertinggi atau yang menyalahi undang-undang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

JANS turut melaporkan bahawa sebanyak 1,888 sambungan paip air haram di negeri ini berjaya dipotong dalam operasi pemotongan setakat Januari hingga Jun.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, operasi pemotongan yang dijalankan JANS itu akan terus dilaksanakan sehingga ianya dapat diminimakan.

"Daripada jumlah sambungan paip haram yang berjaya dipotong, sebanyak 339 pemotongan dilakukan pada Januari lalu; Februari (407 pemotongan); Mac (250 pemotongan); 241 pemotongan pada April; 330 pada Mei dan 321 pemotongan pada bulan lalu.

"Pemotongan paip haram ataupun sambungan haram seumpama ini kita giat jalankan dan hal ini juga kita maklumkan kepada semua beberapa minggu lalu sejak Januari. 

"Setiap bulan ada saja pemantauan oleh bahagian penguatkuasa JANS terhadap sambungam haram ini," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sehingga kini, operasi pemotongan sambungan paip haram amat difokuskan di kawasan Kota Kinabalu. 

"Kita tidak juga menafikan di kawasan atau daerah lain di Sabah masih ada masalah ini.

"Kita akan terus lakukan operasi ini sehingga ia dapat diminimakan," tegasnya lagi.

Terbaru Lebih lama