Lebih 1,500 rumah setinggan sudah dirobohkan di seluruh Sabah

Jauteh

KOTA KINABALU: Lebih 1,500 rumah setinggan berjaya dirobohkan oleh pihak polis dalam operasi perobohan rumah yang dibina diatas tanah kerajaan di negeri ini. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dari masa ke semasa jumlah rumah yang dirobohkan itu akan sentiasa meningkat kerana pihaknya kini giat melaksanakan operasi tersebut. 

"Boleh dikatakan semua daerah sudah kita laksanakan operasi perobohan rumah setinggan ini, sama ada dalam kuantiti yang banyak atau satu per satu. 

"Setakat ini juga kita laksanakan operasi perobohan biasa dan jika kita jumpa penghuni yang tidak memiliki sebarang dokumen, kita akan tangkap," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Pelancaran Buku Dokumentasi Op Daulat Tanduo di Menara Kinabalu pada Selasa. 

Dalam pada itu, Jauteh turut menekankan antara enam objektif utama operasi perobohan rumah setinggan yang dilaksanakan. 

"Pertama untuk menjamin keselamatan negeri Sabah, kita tidak mahu kawasan tanah kerajaan dijadikan sebagai tempat anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab serta membebaskan tanah-tanah kerajaan ini daripada penempatan haram. 

"Ketiga, kita membanteras jenayah yang berlaku di kawasan ini, kita dapat mengurangkan kadar jenayah dari segi harta benda atau narkotik dan yang keempat kita membantu kerajaan menangani isu kecurian elektrik. 

"Seterusnya membantu menangani isu kecurian air dan yang keenam yang paling ketara di negeri kita adalah masalah kekotoran sampah sarap," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa operasi perobohan rumah setinggan telah dilaksana dan yang terbaru adalah perobohan 51 rumah setinggan di sekitar kawasan Kota Kinabalu dengan melibatkan penahanan enam warga asing pada 23 Julai lalu.

Terbaru Lebih lama