SANDAKAN : Mayat disyaki anak pemilik restoran terkenal di Sandakan ditemui di satu kawasan semak berdekatan sebuah ladang, di Kampung Sungai Memanjang, pada Khamis, kira-kira pukul 11 pagi.
Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian sudah mengenalpasti identiti mayat tersebut sebagai Naufal Abdul Rashid, 35 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Anak Lelaki Kuppan berkata, sebelum penemuan mayat mangsa, pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.
Menurutnya, susulan laporan itu, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda sudah terbakar dan tiada individu di dalam kenderaan tersebut.
"Anggota bertugas kemudiannya menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu sebelum menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu kes laporan orang hilang pada Ahad lalu.
"Mayat itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk tujuan bedah siasat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Sayang Sabah di lokasi kejadian pada Khamis.
Katanya siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.