Murid bersama ibu yang meninggal akibat keracunan makanan
KOTA KINABALU: Seorang murid darjah 4 di Sekolah Rendah (SK) Taman Rimba Sandakan dilaporkan meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan bersama ibunya, semalam.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Sadin dalam satu kenyataan berkata, murid yang terlibat itu ialah, Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal.
Mengikut kronologi kes katanya, pada Selasa lalu (23 Julai) guru kelas dimaklumkan bahawa Mohd Mifzal tidak dapat hadir ke sekolah kerana keracunan makanan melalui pesanan ringkas di aplikasi WhatsApp.
"Murid telah ke klinik dan diberi cuti sakit selama dua hari bermula 23 Julai hingga 24 Julai.
"Kemudian pada Khamis, (25 Julai) guru kelas dimaklumkan oleh keluarga mangsa bahawa anak mereka tiba-tiba pengsan pada malam hari Rabu dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setelah dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
"Bagaimanapun, pada pagi Khamis guru kelas telah dimaklumkan oleh waris bahawa anak mereka telah meninggal dunia, kemudian pihak sekolah telah melawat jenazah di rumah nenek murid di Kampung Tinusa pada 12 tengah hari kelmarin," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Jelas Raisin, kes kini sedang dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.
Sementara itu, dapatan sekolah mengenai kes ini menjelaskan bahawa, murid keracunan di rumah bersama ibunya, yang kemudian kedua-dua mereka dimasukkan ke wad.
"Keracunan makanan bukan sebab makanan di kantin sekolah memandangkan ia melibatkan seorang murid sahaja dan murid bersama ibu mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah.
"Sementara, murid-murid lain tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari ini," jelasnya.
Katanya lagi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan insurans takaful.
"JPN Sabah akan membuat laporan lengkap kes apabila semua siasatan telah selesai oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan," ujarnya.