Sumber foto: Google Image
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberitahu bahawa kementerian itu hanya menyediakan peruntukan elaun saguhati kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) sepanjang tahun 2024, untuk yang mempunyai lantikan sah sahaja.
KKDW berkata, anggota JKDM yang menerima lantikan sah dan mempunyai watikah perlantikan daripada Menteri KKDW sahaja akan menerima bayaran elaun saguhati tersebut.
Peruntukan elaun saguhati tersebut adalah melibatkan kuota keseluruhan JKDM di Sabah sebanyak 2,853, dengan nilai keseluruhan peruntukan berjumlah RM38,515,500.00.
Antara yang menerima elaun saguhati tersebut ialah Pengerusi JKDM dengan bayaran sebanyak RM500 sebulan, Setiausaha JKDM RM300 sebulan dan 11 ahli JKDM lain yang layak menerima elaun kehadiran mesyuarat dengan jumlah RM50 (maksimum enam kali kehadiran ke mesyuarat untuk tempoh setahun).
Selain itu juga, KKDW juga menegaskan bahawa setiap JKDM yang dilantik akan mendapat peruntukan sebanyak RM100 bagi tujuan kos kelolaan mesyuarat, yang juga turut terhad kepada enam kali penganjuran bagi tempoh setahun.
Dalam pada itu, KKDW juga memberitahu pihak KKDW kini masih dalam proses bagi memuktamadkan pelantikan anggota JKDM seluruh wilayah negeri.