SANDAKAN: Akibat daripada selisih faham dengan abang kepada kenalan wanita, anak kepada pemilik restoran terkenal di daerah ini dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui di kawasan ladang Kampung Sungai Memanjang.
Susulan daripada itu, polis kini sedang mengesan suspek iaitu Mohd Jasmin Rusman, 24, atau Achok, bersama dua lagi rakannya, Mohamad Zulfaizie Hanafie Mohd Firdaus, 24, dan seorang lagi dikenali sebagai Komeng berusia 20-an untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden K Ramasamy berkata, siasatan mendapati mangsa telah berkenalan dan berkawan dengan seorang wanita iaitu adik kepada suspek, Mohd Jasmin.
"Berdasarkan maklumat orang hilang, mangsa hilang kira-kira pukul 4 Ahad lalu dan kali terakhir mangsa dijumpai bersama dengan Mohd Jasmin.
"Mangsa dan Mohd Jasmin sebenarnya ada perselisihan faham dan pagi itu berjumpa untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah mereka.
"Setakat ini, motif adalah perselisihan faham berkaitan dengan hubungan mangsa dan adik Mohd Jasmin," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sini pada Jumaat.
Susulan daripada itu, Ramasamy berkata, pihaknya kini telah menahan seorang wanita berusia 22 tahun iaitu bekas isteri Mohd Jasmin bagi membantu siasatan.
"Pasukan penyiasat forensik juga masih berada di lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang dijumpai.
"Hasil pemeriksaan awal, kami tidak ada menemui apa-apa senjata berkaitan dengan kes ini atau dipercayai diguna untuk membunuh mangsa," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa pengecaman mayat dan bedah siasat akan dilakukan pada Sabtu memandangkan keadaan mayat yang ditemui dalam keadaan kurang sempurna.
"Mayat ditemukan kira-kira 16 meter dari kenderaan yang ditemukan terbakar tetapi hasil pemeriksaan awal tidak ada apa-apa kesan terbakar pada mangsa.
"Memandangkan kes ini menarik dan keadaan mayat itu sendiri tidak sempurna, jadi pakar dari Kota Kinabalu akan turun menjalankan bedah siasat," jelasnya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Tiga gambar suspek dan butiran diedarkan kepada media supaya orang ramai dapat membantu mengesan suspek," katanya.
Sebelum ini melaporkan mayat Naufal Abdul Rashid, 35, ditemukan selepas pihak polis mendapat maklumat berhubung sebuah kenderaan terbakar di kawasan ladang tersebut.
Naufal yang dipercayai anak kepada pemilik restoran terkenal di Sandakan dilaporkan hilang sejak empat hari lalu sebelum ditemukan pada Khamis.