Runding kerusi PRN Sabah secara pakej: Mustapha

 

Mustapha

KOTA KINABALU: Rundingan pembahagian kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang perlu dilaksanakan secara pakej khususnya menerusi kerjasama sedia ada seperti Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau tidak mahu sejarah kembali berulang di mana perbincangan hanya setakat bahagian kerusi sahaja. 

"Saya tidak mahu berulang seperti dulu, hanya setakat bincang kerusi sahaja, masing-masing bila sudah menang lupa dengan penyokong di bawah dan yang membantu memenangkan calon yang kita persetujui bersama" katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 POLYCC Zon Sabah di sini, pada Jumaat.

Justeru itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar meminta agar rakan seperjuangan dari parti lain dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya. 

"Saya tidak mahu hanya berkisar setakat kerusi sahaja, kita kena bincang lebih teliti mengenai jawatan-jawatan seperti pengerusi Government Linked Companies (GLC), ahli lembaga sehingga kepada berapa peratus yang kita perlu dapat untuk jawatan di peringkat akar umbi," tegasnya. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status hubungan kerjasama GRS-PH, Mustapha berkata, setakat ini hubungan tersebut berada dalam keadaan yang baik selain meminta agar bilangan kerusi untuk PH khususnya PKR tandingi pada PRN-17 akan datang ditambah.

Terbaru Lebih lama