KOTA KINABALU: Seramai 713 Kontinjen Sabah yang bakal beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 di Sarawak, digesa untuk melakukan yang terbaik dalam usaha mencapai sasaran 40 pingat emas.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan prestasi Sabah dalam SUKMA ke-20 di Kuala Lumpur dua tahun lalu,
pasukan Sabah berjaya membawa pulang 30 emas, 30 perak, dan 38 gangsa.
Oleh itu, Hajiji yakin pasukan Sabah mampu mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini.
Pada tahun 2022, Sabah menduduki tempat keenam daripada 15 kontinjen yang bertanding dalam sukan paling berprestij yang turut menyaksikan penyertaan kontinjen dari negara Brunei Darussalam.
Tegas Hajiji, insentif terbaik pasti menanti pemenang SUKMA Sarawak.
“Kepada semua 713 atlet yang mewakili Sabah dalam sukan dwitahunan ini, berjuanglah sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah kepada Kontinjen Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Khamis.
Jelasnya, SUKMA 2024 akan berlangsung di Sarawak bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos ini.
“Saya menaruh sepenuh kepercayaan dengan kemampuan atlet-atlet kita dan atlet semua akan membawa kejayaan yang pastinya akan menjadi penanda aras bagi semua acara sukan di negeri ini.
“Dapatkan catatan rekod terbaik supaya anda semua (atlet) boleh mewakili Malaysia ke peringkat lebih tinggi termasuk dalam kejohanan dunia atau olimpik,” kata pesan Hajiji.
Beliau pada masa sama turut menasihati semua atlet supaya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi, di mana ianya merupakan elemen paling penting apabila bertanding dalam mana-mana pertandingan.
"Sehebat mana pun atlet itu, jika tidak berdisplin, keupayaannya itu tidak akan sampai ke mana. Saya yakin persatuan sukan dan jurulatih telah menyampaikan perkara ini kepada semua atlet. Kita tidak mahu nama baik negeri buruk hanya kerana tidak berdisiplin,” katanya.
"Saya yakin, kontinjen SUKMA Sabah telah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal. Oleh itu, saya berharap semua atlet dapat menjaga pemakanan seharian terutama dalam pengambilan makanan tambahan atau suplemen yang dibenarkan," katanya sambil menasihati semua atlet agar terus menjaga kesihatan memandangkan hanya kira-kira dua minggu lagi sebelum SUKMA berlangsung.
Hajiji juga mahu semua pegawai pengiring akan sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan atlet sepanjang berada di Sarawak.