KOTA KINABALU: Sebuah hantaran media sosial yang dibuat persona Jo-Anna Henley Rampas berkenaan spekulasi dan penglibatan beliau dalam jawatan serta dunia politik kini terjawab.
"Pelbagai spekulasi dari pelbagai pihak dalam media sosial ditujukan kepada saya dan dengan ini saya ingin katakan hal yang sama lagi.
"Walaupun sebenarnya sejak Disember tahun lalu telahpun saya nyatakan.
"Saya kini dalam perjalanan memenuhi keperluan ilmu di dada dan saya tidak memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik sejak tahun lalu kerana saya kembali ke jalan ilmu, saya sambung pengajian PhD di Unimas," katanya.
Dalam hantaran yang dibuat oleh ratu cantik unduk ngadau yang terdahulu bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) ini juga menjelaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk berada dalam arena politik semasa kerana sedang sibuk dengan pengajian.
"Sekarang ni, tesis dan kajian saya dalam proses dan mungkin untuk tempoh masa sekitar 18 bulan hingga dua tahun lagi, saya akan sepenuhnya fokus untuk hal ini," katanya lagi.
Jo-Anna bagaimanapun memberitahu bahawa beliau sentiasa akan mengikuti perkembangan semasa dan berkongsi pandangan berkenaan isu semasa politik di Sabah.
"Saya akan kongsi dan ambil tahu apa yang berlaku dengan politik Sabah.
"Ok, sudah jawab," ujarnya ringkas.