Teknologi Pendidikan Sabah 1.0 sasar 15 ribu pengunjung hadir sokong acara pendidikan teknologi

Munirah

KOTA KINABALU: Teknologi Pendidikan Sabah (SET) 1.0 mensasarkan kehadiran pengunjung seramai 15 ribu bagi acaranya yang pertama kali dianjurkan dan bakal berlangsung pada 2 Ogos hingga 4 Ogos ini.

Pengarah Pelaksana Program, Munirah Ruslan berkata program yang pertama kali dianjurkan itu adalah sebuah program hasil kerjasama bersama pelbagai pihak dengan objektif untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pelaburan ekonomi digital, khasnya yang berkaitan dengan kemahiran serta bidang pendidikan.

"InsyaAllah kami berhajat untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan dan lebih ramai pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan juga syarikat-syarikat GLC yang boleh turut sama bersama kita untuk  acara ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media di sini pada Selasa.

Menurut Munirah, acara itu juga antara lainnya adalah mempunyai matlamat untuk menyokong usaha kerajaan dalam meluaskan jaringan teknologi komunikasi dan digital di seluruh negeri Sabah.

"Untuk acara yang pertama kali kita adakan ini, kita akan bersama dengan lebih 100 pempamer yang akan turut sama memeriahkan dan membuat pengisian bagi tempoh tiga hari kita berlangsung," katanya lagi.

Munirah juga memberitahu bahawa acara penutupan bagi SET 1.0 itu akan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

"Untuk pengetahuan semua, kita fokus untuk memberi pendedahan kepada para pengunjung yang kita sasarkan iaitu belia, graduan dan pelajar sekolah tentang aspek bidang pendidikan, kerjaya dan pilihan.

"Kita juga membuka peluang kepada pengunjung untuk meluaskan pengetahuan mengenai institusi pendidikan yang boleh diteroka selain daripada memberi motivasi dan pembangkin semangat kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian," katanya lagi.

Dalam pada itu, Munirah juga menjelaskan bahawa SET juga dirancang sebagai sebuah acara yang menjadi laluan atau permudah acra kepada pelajar yang kurang berkemampuan, untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang pengajian berkonsepkan kemahiran.

"Ini juga usaha kita untuk meringankan beban ibu bapa bagi pelajar dalam golongan B40 yang kurang berkemampuan.

"Ini juga mampu memberi galakan secara fizikal dan mental kepada pelajar sekolah dan belia dari golongan ini, kerana antara pengisian kita adalah Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) atau latihan dan pendidikan vokasional yang dikenali sebagai TVET, khusus fokus kepada pembangunan modal insan dan membantu belia dan graduan untuk meningkakan kebolehpasaran mengikut keperluan industri,"jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Munirah juga berkongsi bahawa pihaknya bakal mengadakan Pelancaran Program Jelajah Saya Digital (JSD) Sabah 2024 oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Sdn. Bhd.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengerusi Persatuan Wanita Sabah (PEWASA) Anne Sidik, dan Penasihat SET 1.0 Datuk Surinam Sadikun.

Terbaru Lebih lama