PENAMPANG: Tiga buah rumah dan empat kenderaan musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi Rabu di Kampung Pogunon.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah dalam satu kenyataan melaporkan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 pagi.
"Sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Penampang dibantu sepasukan lima anggota daripada Balai Putatan tiba dalam masa 14 minit.
"Kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 60x40 kaki terbakar 70 peratus, 40x30 kaki terbakar 100 peratus dan 3.70x50 kaki terbakar 100 peratus.
"Turut terlibat empat jenis kenderaan iaitu Perodua Kancil terbakar 80 peratus, Hyundai Atos terbakar 90 peratus, Proton Wira terbakar 90 peratus dan Toyota Van LiteAce terbakar 100 peratus.
"Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dilaporkan," kata seorang jurucakap agensi, sambil menambah operasi pemadaman menggunakan sumber air pili Bomba.
Operasi kemudian terkawal pada jam 3.28 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 5.16 pagi.