PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu yang dianggar bernilai RM1,000 pada kira-kira jam 1 petang, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan tersebut berjaya dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dalam satu operasi di sebuah rumah di daerah itu.
"Pemeriksaan ke atas suspek berusia 28 tahun di tempat kejadian telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 6.59 gram.
"Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapat suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seskyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.