![]() |
Hendrus (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penganjur dan graduan |
KOTA KINABALU: Seramai 31 graduan berjaya menerima Program Sijil Keusahawanan Pertanian Bersepadu pada Majlis Konvokesyen ke-28 Pusat Latihan Pertanian Bersepadu, Putatan di Dewan Serbaguna MAFFI, Wisma Pertanian Sabah di sini, pada Khamis.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, penganjuran Majlis Konvokesyen itu signifikan dalam membantu hasrat kerajaan untuk membangunkan lebih ramai belia menerokai dan menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian di Sabah.
"Syabas dan tahniah kepada 31 orang graduan yang bakal menerima Sijil Keusahawanan Pertanian Bersepadu kerana berjaya membuktikan bahawa kegigihan dan ketekunan untuk menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil," katanya semasa berucap pada majlis itu.
Teks ucapan beliau dibaca Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Hendrus Anding.
Jeffrey berkata, graduan daripada pusat itu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran pertanian bersepadu yang merangkumi pertanian, penternakan, perikanan dan pemprosessan makanan malah turut terlibat secara langsung dalam projek berimpak tinggi seperti penanaman dan pengurusan melon secara fertigasi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) IATC, Putatan.
"Pertanian Pintar dalam projek penanaman Hidroponik dan Aeroponik. Teknik ini sesuai untuk kawasan bandar dan kawasan dengan ruang terhad, menawarkan alternatif untuk pertanian konvensional.
"Selain itu produk Pengeluaran Makanan dan Pemprosesan Makanan serta Agro-Pelancongan dan Eco-Tourism," katanya lagi.
Menurut Jeffrey, penganjuran kursus di Pusat-pusat Latihan Pertanian menawarkan pilihan dalam pertanian moden, teknologi pertanian, dan keusahawanan untuk melatih generasi muda dan petani baru.
"Turut disediakan bengkel dan seminar mengenai teknik pertanian terbaru, pengurusan ladang, dan inovasi dalam pertanian," ujarnya lagi.
Beliau turut kagum dengan projek inkubator yang dijalankan oleh graduan di pusat ini yang berjaya menjana pendapatan berjumlah RM100,285.70.
"Ini merupakan satu permulaan dan contoh yang baik. Saya percaya pencapaian ini adalah hasil komitmen, dedikasi, dan kerja keras oleh pelatih-pelatih untuk memastikan pelaksanaan rancangan perniagaan atau projek yang sudah dirancang dapat diikuti serta bimbingan daripada para pensyarah.
"Pencapaian projek-projek inkubator ini mencerminkan bahawa sektor agromakanan mampu menjana pendapatan lumayan dan menjadi lubuk rezeki kepada golongan belia," katanya.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Pengarah Pertanian Sabah, Jifrin Mohamad.