Bina masyarakat progresif melalui pemerkasaan wanita: Juliah Salag


Juliah (kiri) menerima cenderamata kenangan daripada Aminah (dua dari kiri) 


KOTA KINABALU: Isteri kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Juliah Salag berkata usaha mewujudkan masyarakat progresif dapat direalisasikan dengan mengambil langkah dalam memperkasa wanita.

"Pemerkasaan bukan saja berkaitan memberi kuasa atau peluang kepada wanita, tetapi juga memberikan kesedaran kepada setiap individu untuk memperkasakan diri mereka sendiri dan juga keluarga.

"Kita perlu menggalakkan kesedaran ini dalam kalangan wanita, lelaki dan generasi muda, kerana pemerkasaan yang sebenar adalah untuk memberikan ruang kepada setiap individu untuk berkembang, mencapai potensi penuh mereka dan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara", katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Program Kesedaran Pemerkasaan Gender dan Kesihatan Mental Wanita di sini pada Khamis.

Menurut Juliah, cabaran semasa dilihat sangat mencabar dan isu kesihatan mental yang melibatkan kaum wanita tidak boleh diabaikan kerana mereka cenderung mengalami masalah mental berbanding lelaki.

"Isi kesihatan mental adalah isu global dan kaum wanita direkodkan dua kali ganda lebih berisiko berbanding lelaki disebabkan wanita sering menghadapi tekanan yang lebih tinggi akibat daripada pelbagai peranan yang mereka mainkan, sama ada sebagai isteri, ibu, suri rumah, pekerja dan pemimpin dalam masyarakat.

"Pakar sendiri menjelaskan ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kecelaruan mental dalam kalangan wanita dan faktor paling utama adalah kerana genetik atau keturunan," katanya. 

Tambah Juliah, masalah itu juga masih boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti gangguan bahan kimia dalam otak, selain faktor tekanan yang merupakan antara penyebab masalah kecelaruan mental yang berpunca daripada diri sendiri, keluarga, pasangan, majikan, rakan serta media sosial.

"Saya percaya, masalah kesihatan mental boleh ditangani sebaiknya jika ia dicegah lebih awal.

"Justeru amat penting kita memastikan golongan wanita mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menjaga kesejahteraan mental mereka, termasuklah kemudahan rawatan komprehensif merangkumi aspek fizikal dan psikologi seperti kaunseling", tegasnya.

Dalam pada itu, Juliah turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha memperkasa golongan wanita di Sabah melalui pelbagai program pembangunan.

"Ketahuilah bahawa wanita merupakan aset yang mampu menyumbang kepada pembangunan sesebuah negeri dan negara.

"Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah untuk membiayai pelaksanaan program kepimpinan dan pembangunan wanita di Sabah," katanya lagi.

Selain itu, Juliah juga berkongsi bahawa kemudahan pinjaman mikro kredit untuk wanita diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

"Langkah ini adalah untuk memastikan mereka mendapat peluang dan manfaat yang setara, dan bergerak maju ke hadapan bagi mencapai matlamat pemerkasaan gender," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Presiden Sabah Social Entrepreneurs and Eco Development (SEED), Datuk Aminah Ambrose.

Terbaru Lebih lama