ECoS, ST meterai MoU perkukuh kerjasama tenaga

Abdul Razib (kiri) bertukar dokumen dengan Abdul Nasser Abdul Wahid sambil disaksikan Mohamad Razif dan Fadillah (dua kanan) pada Majlis MoU itu

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor tenaga.

Majlis MoU tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, pada Isnin.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ST Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood dengan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Malaysia, Mohamad Razif Abd Mubin.

MoU itu bertujuan untuk mewujudkan kerangka pengiktirafan dua hala Perakuan Kekompetenan serta label keselamatan dan penarafan kecekapan tenaga bagi peralatan elektrik dan gas, yang dikeluarkan oleh ECoS dan ST.

MoU itu juga menggariskan beberapa bidang kerjasama utama, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan Perakuan Kekompetenan ST.

Sejak ECoS mengambil alih kuasa kawal selia aktiviti bekalan gas dan elektrik dari ST masing-masing pada 10 Januari 2023 dan 3 Januari 2024, semua pemegang Perakuan Kekompetenan ST sedia ada akan diberikan tempoh masa sehingga 2 Januari 2025 bagi memperolehi kelayakan melalui proses yang sewajarnya untuk memohon Perakuan Kekompetenan yang setara dari ECoS.

Pemegang Perakuan Kekompetenan ST yang sedia ada mesti menghadiri dan lulus Kursus Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023 (bagi pemegang Perakuan Kekompetenan Gas ST) dan Kursus Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (bagi pemegang Perakuan Kekompetenan Elektrik ST) untuk layak menerima Perakuan Kekompetenan ECoS yang setara.

MoU tersebut juga menyatakan pengiktirafan dua hala bagi Label Keselamatan dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga untuk memastikan kualiti standard bagi peralatan gas dan elektrik dalam menjamin kualiti dan keselamatan di kalangan pengguna.

Abdul Nasser berkata kerjasama strategik itu bertujuan untuk menyelaraskan proses, meningkatkan keberkesanan, dan memastikan pendekatan yang selaras dalam mengawal selia sektor tenaga di Sabah, Semenanjung Malaysia, dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

"Melalui kerjasama bersama dengan ST, ECoS berharap dapat mewujudkan landskap tenaga yang lebih kompetitif dan mampan untuk kepentingan semua pihak berkepentingan.

"Hal ini penting, lebih-lebih lagi bagi pendekatan selaras dalam kawal selia sektor tenaga di seluruh negara, termasuk Sabah," katanya. 



Terbaru Lebih lama