Foto: Sabah Football Association Women’s Team |
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak wanita Sabah (Sabah FA) apabila mencipta sejarah menjadi wakil tunggal Malaysia layak ke AFC Women’s Champions League 2024 susulan kejayaan menewaskan pasukan dari Uzbekistan, PFC Nasaf 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.
"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan ini ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sabah FA atas kejayaan skuad bola sepak wanita Sabah melayakkan diri ke AFC Women’s Champions League 2024/25," ucap FAM dalam satu kenyataan hari ini.
"Sudah tentu kejayaan mereka telah membuka lembaran baharu buat arena bola sepak wanita dan semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pemain-pemain bola sepak wanita di dalam negara!"
Sabah FA dijadualkan beraksi dalam peringkat kumpulan AFC Women’s Champions League 2024/25 di Wuhan, China pada 6 hingga 12 Oktober ini.
Skuad kendalian jurulatih, Justin Ganai diundi dalam Kumpulan A bersama tiga pasukan iaitu Wuhan Jiangda Women's FC (China), Hyundai Steel Red Angels (Republik Korea) dan Abu Dhabi Country Club (UAE).