KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menafikan dakwaan bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merancang untuk bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 yang akan datang.
Joniston berkata, kedua-dua PBS dan STAR komited kepada gabungan tempatan GRS untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dalam pertempuran pilihan raya yang akan datang.
"Ia adalah cubaan terdesak oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berhasrat untuk pecah-belahkan GRS kerana sokongan yang semakin meningkat terhadap parti-parti tempatan untuk terus memimpin kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Jumaat.
Dakwaan tersebut timbul susulan penyebaran video yang tular menunjukkan keratan berita yang telah disunting, mendakwa bahawa PBS dan STAR merancang untuk bertanding secara solo.
"Pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyunting tajuk-tajuk berita dalam usaha terdesak untuk mencipta naratif palsu," tegas Joniston.
Beliau menggambarkan dakwaan ini sebagai langkah strategik pembangkang dengan niat untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan parti komponen GRS.
"Sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak-pihak tertentu, sejak kebelakangan ini, telah bertindak melampaui batas untuk menyebarkan kepalsuan, dakwaan tidak berasas, dan tuduhan terhadap GRS dan kerajaan pimpinan GRS-PH Plus," tambahnya.
Menurut Joniston lagi, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengadakan pertemuan berkala dengan pemimpin parti-parti komponen gabungan.
"Kami dalam GRS berhubungan baik dan perkara biasa bagi parti-parti menyatakan minat untuk bertanding sebanyak mungkin kerusi, dan pada akhirnya adalah perkara yang perlu dibincangkan dan diputuskan apabila tiba masanya," jelas Joniston.
Menurut beliau, pihak GRS juga komited memastikan kemenangan besar dan hal tersebut juga adalah antara objektif utama memorandum persefahaman yang dimeterai oleh PBS dan STAR.
"Tumpuan kami adalah untuk memberikan tadbir urus yang baik dan pembangunan untuk rakyat Sabah, dan kami tidak akan terganggu oleh dakwaan tidak berasas ini," tegasnya lagi.
Joniston menyeru orang ramai untuk mengetepikan maklumat yang tidak tepat dan terus menyokong gabungan GRS dalam usaha menegakkan kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah.