Hajiji (tengah) berswafoto bersama guru besar-guru besar yang hadir dalam majlis itu |
PENAMPANG: Guru besar berperanan dalam usaha memastikan kejayaan transformasi pendidikan digital sekolah di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, guru besar adalah pemimpin yang membawa perubahan, inspirasi dan bimbingan kepada guru-guru serta pelajar-pelajar.
“Untuk itu, jelas terbukti bahawa guru besar berperanan besar untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi pendidikan.
"Kerajaan Negeri komited untuk menyokong pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan meningkatkan infrastruktur digital di sekolah-sekolah.
Menurut Hajiji, perkembangan digital semasa turut menjadi faktor kepada keperluan untuk guru besar beradaptasi dalam sistem pendidikan, sekaligus menormalisasikan budaya teknologi di sekolah.
“Era digital telah membawa perubahan dalam setiap aspek kehidupan kita, termasuk dalam bidang pendidikan.
"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa sistem pendidikan turut beradaptasi dengan perubahan ini kerana pendidikan digital bukan sahaja sekadar penggunaan alat teknologi dalam proses pengurusan, pengajaran dan pembelajaran.
“Pendidikan digital adalah penting untuk kita membudayakan penggunaan teknologi sebagai bahan interaktif untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, memupuk pemikiran kritis, dan melahirkan generasi yang inovatif dan kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Persidangan Agung dan Konvensyen Persatuan Guru Besar Malaysia Negeri Sabah Kali ke-2 di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Hajiji berkata aspek kualiti dan kecemerlangan pendidikan harus menjadi fokus utama dalam setiap program mendidik para pelajar.
“Pendidikan berkualiti bukan saja mampu melahirkan modal insan yang unggul dan berkemahiran, malah akan menyediakan aset pembangunan sosial yang dinamik dan berdaya saing.
“Sememangnya sudah menjadi hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini secara berterusan.
"Harapan saya untuk persidangan ini, semoga berjaya mencapai objektif yang dirancang dan mampu meningkatkan lagi kualiti pendidikan di seluruh Sabah.
“Saya percaya bahawa dengan kerjasama dan dedikasi kita semua, kita mampu membawa pendidikan di negeri kita ke tahap yang lebih tinggi dan memastikan generasi masa depan kita bersedia untuk menghadapi cabaran dunia digital,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan prasarana teknologi digital di Sabah.
“Semua inisiatif yang dilaksanakan adalah bagi mempercepat pelaksanaan Pelan Strategik Kerajaan Digital di Sabah, khasnya menjelang tahun 2025.
“Kerajaan juga sudah siap memasang semua 300 buah peranti Starlink di seluruh kawasan Sabah, pada bulan Mei lalu, yang dikenal pasti mempunyai masalah sambungan internet sebagai penyelesaian interim kepada kawasan berkenaan,” tambahnya lagi.