PATI ditahan Imigresen di Keningau, tengah malam Rabu |
Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh. Sitti Habib Yussof berkata kesemua PATI itu ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
"Kesemua PATI ini adalah terdiri daripada 87 warganegara Indonesia dan 17 warganegara Filipina, dan kesemua mereka yang ditahan ini adalah dalam lingkungan umur lima bulan hingga 89 tahun.
"Mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar bagi tujuan siasatan dan tindakan susulan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini pada Rabu.
Menurut beliau, semasa operasi serbuan dijalankan, ada warga asing yang cuba untuk melarikan diri dan bersembunyi daripada anggota.
Katanya, antara kesalahan yang dilakukan oleh mereka adalah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.
"Ada cabaran yang perlu dihadapi petugas Imigresen dalam usaha membanteras PATI ini dan antaranya ialah mereka berkongsi maklumat operasi dan keberadaan pihak anggota bertugas di media sosial, sebagai 'alert' supaya pendatang asing yang lain dapat bersembunyi.
"Selain itu, kawasan operasi di sini juga berdepan cabaran faktor geografi bentuk muka, kerana kawasan ini berbukit, berlumpur dan merangkumi kawasan yang agak luas, sekaligus menyukarkan operasi," katanya lagi.
Tambahnya, usaha untuk membanteras dan penguatkuasaan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.
"Kita akan terus mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang.
"Orang ramai juga diminta untuk berkongsi sebarang maklumat berkaitan PATI dengan pihak Imigresen sekaligus membantu usaha kita melaksanakan penguatkuasaan undang-undang," ujar beliau lagi.