KOTA KINABALU: Kenyataan beberapa pihak yang mendakwa bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah tidak mengundang Parti Warisan ke Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 lalu adalah satu tuduhan tidak berasas, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat merangkap Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin.
Katanya, tuduhan tidak berasas itu sekaligus menunjukkan seolah KEADILAN Sabah tidak menghormati rakan dari Kerajaan Perpaduan.
"Untuk makluman himpunan yang dihadiri lebih 15,000 anggota dan penyokong KEADILAN itu turut dihadiri rakan pimpinan dari Pakatan Harapan iaitu DAP, Amanah dan UPKO.
"Selain itu rakan-rakan pimpinan dari PGRS, Barisan Nasional, LDP, STAR, PCS, PBS, PBRS, MCA serta beberapa parti lain juga turut hadir.
"Hanya USNO dan Warisan memaklumkan tidak dapat menghadiri acara ini kerana mempunyai komitmen lain," jelasnya pada sidang media di sini, pagi Jumaat.
Menurut Razeef, pada mula pihaknya tidak mahu mengambil peduli perihal kenyataan dakwaan itu tetapi pihak pimpinan Warisan hanya mendiamkan diri seolah membenarkan tuduhan itu.
"Pada mulanya kita tidak berniat untuk beri maklum balas namun tindakan pimpinan Warisan yang mendiamkan diri seolah membenarkan tuduhan anggota parti mereka bahawa KEADILAN sengaja tidak menjemput Parti Warisan.
"Di sini kita sertakan salinan surat jemputan serta bukti bahawa KEADILAN telah menghantar jemputan berserta maklum balas dari Setiausaha Agung Warisan, Loretto Sipin bahawa pimpinan Warisan tidak dapat hadir kerana menghadiri retreat.
"Oleh kerana itu kami tidak mahu lagi timbul fitnah bahawa kami tidak memanggil Warisan," tegas beliau.
Sementara itu, pada sidang media sama Razeef turut memaklumkan beberapa aktiviti KEADILAN Sabah.
"Bermula 14 September hingga 26 Oktober 2024, kesemua 25 Cabang KEADILAN Sabah akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) kali ke-2 bagi sesi 2022-2025.
"Konvensyen Pemerkasaan Organisasi Parti (POP25) & KEADILAN Menang Siri Pilihanraya ke-16 (KEMAS16) akan diadakan pada 5 Oktober 2025. Konvensyen ini sepatutnya berlangsung pada 4 Ogos lalu namun terpaksa ditunda atas sebab tertentu.
"Program ini juga akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Keadilan, saudara Rafizi Ramli dan dihadiri oleh pimpinan utama KEADILAN," jelasnya.
Selain itu, katanya, Konvensyen Angkatan Muda Keadilan (AMK) Zon Borneo juga dijadualkan akan berlangsung pada 21 September ini di Kota Kinabalu.
"Pihak AMK akan umum ketetapan program selepas keputusan muktamad dibuat.
"Setakat ini KEADILAN Sabah padat dengan pelbagai program termasuk beberapa latihan memperkasakan organisasi dan jentera pilihanraya.
"Kami serius kepada memperkukuh organisasi parti serta persediaan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa," katanya.
Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan mengadakan sidang media mingguan bagi tujuan memberi makluman tentang perkembangan semasa dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
"Saya juga ingin memaklumkan sebagai Ketua Penerangan Negeri serta jurucakap rasmi KEADILAN Sabah, saya akan mengadakan sidang media mingguan setiap hari Sabtu yang mana kita akan memaklumkan perkembangan terkini, aktiviti- aktiviti serta menjawab beberapa isu serta persoalan.
"Kita juga akan menampilkan pimpinan utama seperti Pengerusi, Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Pilihanraya Negeri serta pimpinan utama Negeri mengikut isu yang kita ingin bawa pada satu-satu sidang media," ujarnya lagi.