PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya menyalurkan bantuan ehsan sejumlah RM650,200 kepada para pelajar dan penjaja di kawasan Penampang yang terjejas teruk akibat banjir hujung Jun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperai Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu sejumlah RM497,700 bantuan ehsan disalurkan kepada 19 buah sekolah rendah dan menengah melibatkan 1,659 penerima.
“Manakala sejumlah RM152,500 bantuan ehsan disalurkan kepada seramai 268 penjaja daripada Persatuan Usahawan Kecil dan Sederhana Daerah Penampang, Persatuan Peniaga Tamu Donggongon dan usahawan Tekun Nasional Penampang.
“Agensi-agensi yang terlibat dalam Program Ehsan@Kuskop ialah SME Corp, SME Bank, Tekun Nasional, Pernas, Bank Rakyat, Coop Bank Pertama, Angkasa dan Yayasan Bank Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan melalui Program Ehsan@KUSKOP, di Dewan Siga Tuavon, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kuskop Datuk Zamri Salleh, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Francis Chong, pengerusi-pengerusi agensi, ketua-ketua pegawai eksekutif, PPD Penampang, pengetua, guru besar dan para pelajar.
Ewon berkata, bantuan ehsan itu diberikan kepada pelajar yang dikategorikan ‘terjejas teruk’ seperti kehilangan baju seragam, kasut dan keperluan alat tulis apabila rumah mereka terjejas teruk (total loss) semasa insiden banjir pada 30 Jun dan 1 Julai tersebut.
“Setiap pelajar yang telah dikenalpasti oleh sekolah-sekolah berkenaan akan menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang,” katanya.
Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan bebanan para pelajar dan penjaja yang terjejas teruk banjir.
Pelajar yang menerima sumbangan itu daripada SK St.Theresa Inobong, SK St.Anthony, SK Babagon, SMK Datuk Peter Mojuntin, SK St.Joseph, SMK Limbanak, SK Kibabaig, SJKC Yue Min, SK Kipovo, SM St.Micheal Penampang, SMK Bahang, SK St.Paul Kolopis, SK Penampang, SK Bahang, SK Puun Tunoh, SK Putaton Inobong, SK St.Aloysius Limbanak, SK Sugud dan SK Buit Hill.
SME Bank menyampaikan bantuan ehsan sebanyak RM74,100 untuk empat buah sekolah iaitu SK St.Theresa Inobong, SK St.Anthony, SK Babagon dan SMK Datuk Peter Mojuntin.
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyampaikan bantuan ehsan sejumlah RM50,000 kepada SMK Bahang.
Manakala Tekun Nasional menyampaikan sumbangan sejumlah RM35,100 kepada SM St.Joseph Penampang, PERNAS (RM50,100) kepada SMK Limbanak, Bank Rakyat (RM92,400) kepada SK Kibabaig, Coop Bank Pertama (RM15,000) kepada SJK Yue Min dan SK Kipovo,
Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang menyampaikan bantuan ehsan sejumlah RM109,600 kepada lapan buah sekolah iaitu SK St.Paul Kolopis, SK Penampang, SK Puun Tunoh, SK Bahang, SK Putaton Inobong, SK St.Aloysius Limbanak, SK Sugud dan SK Buit Hilll.
SME Corp menyampaikan bantuan kewangan kepada seramai 30 ahli Persatuan Usahawan Kecil dan Sederhana Daerah Penampang melibatkan sumbangan sebanyak RM15,000, Persatuan Peniaga Tamu Donggongon seramai 197 orang melibatkan bantuan sejumlah RM98,500 dan Usahawan Tekun Nadsional dan SME Corp seramai 41 peniaga dengan jumlah bantuan sebanyak RM39,000.