Lelaki ditahan selepas gagal larikan telefon bimbit

Suspek lelaki warga asing ditahan bersama telefon bimbit yang dicuri, dan paket dipercayai
syabu

TAWAU: Polis memberkas seorang lelaki selepas gagal melarikan sebuah telefon bimbit di sekitar kawasan Fajar, Bandar Tawau, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berumur 39 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan sedang melarikan diri semasa dikejar oleh orang awam di kawasan itu.

"Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam itu, semasa orang awam mengejar suspek, anggota polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau yang pada masa itu sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah, turut sama mengejar suspek dan berjaya ditangkap," katanya.

Menurut beliau, mangsa seorang lelaki berumur 28 tahun itu turut mengejar suspek bersama orang awam dan memberitahu bahawa telefon bimbitnya telah dicuri oleh suspek.

“Semasa tangkapan dilakukan, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif serta enggan memberi kerjasama kepada polis.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai sebuah beg yang dipakai suspek dan terdapat tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu berlainan saiz dengan anggaran berat 16.04 gram," katanya.

Jelasnya, suspek bersama barang rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.



Terbaru Lebih lama