Lelaki warga asing ditahan curi kabel Telekom

 

Warga asing ditahan disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (Sumber Foto: Polis Daerah Tawau) 


TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Tawau semalam. 

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, seorang juruteknik TM menyedari kehilangan beberapa kabel yang disyaki dicuri oleh individu yang tidak dikenali semasa membuat pemeriksaan di pencawang Telekom. 

"Ketika pengadu memeriksa lokasi pencawang, beliau mendapati kabel TM sepanjang 11 meter telah dipotong dan dicuri, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM4000," katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, seorang suspek lelaki warga asing berusia 31 tahun ditahan di sekitar perkampungan Batu 3, Jalan Apas kira-kira jam 11.00 pagi.

"Susulan daripada tangkapan tersebut polis turut menahan seorang wanita berusia 27 tahun untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah guni berisi wayar tembaga seberat lebih kurang 25 kilogram dan sekeping resit bercetak yang dipercayai resit penjualan tembaga yang dicuri.

"Hasil soal siasat mendapati suspek mencuri kabel tersebut di tempat kejadian, kemudian membakar kabel itu untuk mendapatkan tembaga, sebelum menjualnya di kedai besi buruk," jelas beliau.

Suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terbaru Lebih lama