Foto: Abdul Hadi Awang Facebook |
KOTA KINABALU - Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata parti itu perlu bertanding dan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang untuk mendapatkan peluang memimpin Kerajaan Pusat.
Abdul Hadi berkata, pada pilihan raya umum yang lepas menunjukkan ramai kalangan Umno dan anak muda memberikan undi kepada PAS sehinggakan dapat memerintah di empat buah negeri.
Namun, ujarnya untuk memerintah Kerajaan Pusat memerlukan PAS menang di Sabah.
"Perkembangan yang berlaku sebelum ini menunjukkan sebuah perubahan yang sangat menarik. Pilihan raya umum yang lepas menunjukkan ramai kalangan UMNO dan anak muda yang memberikan undi kepada PAS sehinggakan kita memerintah di empat buah negeri," katanya.
"Namun begitu, untuk memerintah Kerajaan Pusat memerlukan kita untuk menang di Sabah."
"PAS mesti memperkasakan kedudukan di Sabah. Bagi melaksanakan perkara ini maka kita mesti menang di Sabah atau ada kerusi yang kita menangi."
Menurut Abdul Hadi, dia melihat PAS mempunyai masa depan yang baik di Sabah kerana ramai anak muda yang hadir pada pada Konvesyen PAS di Kota Kinabalu semalam.
"Kita mengharapkan perubahan yang telah berlaku kepada anak muda yang merupakan perubahan yang positif kepada Sabah."
Ketika ini, PAS mempunyai seorang Adun dilantik, iaitu Aliakbar yang dilantik ketika Perikatan Nasional (PN) masih sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN16 pada September 2020.