SANDAKAN: Pemandu lori satu tan cedera selepas lori yang dipandunya terbabas sendiri ke bahu jalan di Jalan Batu 28, Sandakan pada petang Jumaat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Rosemidian@Rosdi Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.21 petang.
Katanya, laporan kemalangan jalan raya yang diterima melibatkan dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan lori satu tan.
"Kedua-dua kenderaan terbabas sendiri ke bahu jalan akibat permukaan jalan yang licin.
"Pemandu lori berusia 20an tersepit kaki manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Jumaat.
Pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dan diberikan rawatan awal.
"Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 5.40 petang selepas memastikan keadaan sekitar dipastikan tidak ada risiko lain," ujar beliau lagi.