LAHAD DATU: Seorang wanita mengandung 33 minggu dan merupakan pesakit psikiatri dilaporkan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga Hospital Lahad Datu, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati pada Selasa lalu (30 Julai) mangsa telah bertindak agresif dan dihantar oleh ahli keluarga ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
"Pada Rabu (31 Julai) semasa di wad 3A mangsa dikatakan cuba untuk terjun dari tingkap namun tindakan mangsa dapat dihalang oleh jururawat yang bertugas.
"Mangsa kemudian diberikan rawatan sambil tangan diikat kerana bertindak agresif. Bagaimanapun pada jam 6.30 petang ikatan mangsa dibuka setelah diberikan ubat penenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda agresif.
"Bagaimanapun, pada jam 7.20 petang mangsa didapati sudah tidak berada di katil dan pemeriksaan dibuat yang kemudiannya menjumpai mangsa terbaring di rumput tingkat bawah," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Khamis.
Dzulbaharin berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke unit kecemasan dan trauma di hospital tersebut.
"Mangsa seterusnya telah melalui pembedahan untuk menyelamatkan kandungan, namun bayi berusia 33 minggu itu telah disahkan meninggal dunia dalam kandungan. Mangsa kemudian dimasukkan ke wad ICU dan telah disahkan meninggal dunia hari ini," jelasnya.
Tambah beliau, tiada unsur jenayah ditemui keatas kematian mangsa dan mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik hospital tersebut untuk bedah siasatan dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut.
Dalam pada itu, orang ramai khususnya penduduk Lahad Datu dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tanggapan negatif ke atas kejadian yang menimpa mangsa.