Program Sejati MADANI di Kadamaian: Ransang kemajuan ekonomi komuniti setempat

Ewon (kanan) beramah mesra bersama penduduk Kadamaian yang hadir semasa program


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mahu pemimpin peringkat kampung khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu memanfaatkan Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, program itu adalah inisiatif baharu Kerajaan MADANI bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

"Program ini bertujuan untuk mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.

“Setakat hari ini, terdapat empat komuniti di Kadamaian yang telah mendapat dana di bawah perlaksanaan Sejati MADANI, berbanding 74 buah kampung di kawasan ini, masih banyak yang perlu dibantu.

“Sebab itu, selaku wakil rakyat di sini, saya telah mengambil inisiatif untuk menjemput pihak ICU Sabah, memberikan taklimat khas ini, bagi memberikan kefahaman kepada pegerusi-pengerusi JKKK memohon dana ini supaya program-program aktiviti ekonomi di kampong dapat dilaksanakan.

“Saya tidak mahu ada kampung di Kadamaian yang merasa terpinggir kerana tidak mendapat dana ini,” katanya.

Ewon berkata, dana khas itu akan disalurkan terus kepada penduduk kampung melalui JKKK ataupun pertubuhan komuniti kampung untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan keusahawanan, program ini ada kaitan dengan kementerian.

“Selepas mereka mendapat dana dan dilaksanakan, contohnya aktiviti ekonomi berasaskan industri pelancongan komuniti ataupun aktiviti ekonomi berasaskan kraf tangan ataupun hasil pertanian.

"Kita tidak mahu ia berakhir setakat itu sahaja tetapi harus dikembangkan menjadi aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, KUSKOP dan agensi Kementerian itu mempunyai tangungjawab untuk menawarkan pembiayaan kepada komuniti-komuniti untuk mengembangkan apa yang mereka perolehi daripada perlaksaan Sejati MADANI.

“Antaranya melalui penubuhan koperasi di kampung itu. Saya yakin ini dapat membantu komuniti kita,” katanya.

Sejari MADANI yang dilancarkan pada 25 Mac lalu merupakan satu bentuk program bantuan kerajaan yang bertujuan mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.

Lima sektor menjadi tumpuan dalam program Sejati MADANI iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Semalam satu sesi taklimat khas telah diadakan di Kadamaian, di sini yang dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawanan dan Koperasi.

Taklimat itu diadakan khusus untuk pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang merangkumi 74 buah kampung.

Tujuan utama sesi itu adalah untuk memaklumkan kepada pengerusi JKKK mengenai pelaksanaan program SejaTi MADANI serta memberikan panduan kepada mereka yang belum memohon serta bagaimana proses permohonan dapat dipermudahkan.

Hadir sama semasa majlis taklimat itu ialah Ketua Penolong Pengarah Seksyen Khas Pegawai Perhubungan Negeri Sabah bagi Program Sejahtera Madani, Abd Jamal Abd Malik, Setiausaha Kanan KUSKOP Noor Azman Muhammad Noor, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Saikom Watis.


Terbaru Lebih lama