Nizam |
TAWAU: Usaha mempromosikan program kebudayaan dan kesenian anjuran Dataran Pentas Tanjung Batu Laut dilihat sebagai sebuah langkah penting dalam usaha penyatuan dan kebersamaan rakyat pelbagai bangsa dan kaum di negeri Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata inisiatif itu adalah satu langkah dalam memperkukuh aspek kebudayaan dan tradisi, khasnya dengan penglibatan daripada generasi muda.
"Kita lihat penyertaan respon komuniti tempatan di sini, nyata mereka mempamerkan minat dan menghargai usaha kita untuk memperkaya budaya dan seni yang sewajarnya menjadi warisan.
"Rata-rata yang hadir menyokong usaha ini adalah daripada pelbagai latar belakang budaya dan etnik, dan inilah sebenarnya bukti bahawa kita dapat bersatu melalui budaya dan seni, menjadi sebuah komuniti yang kuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan program itu pada Ahad.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Datuk Abdul Muiz Picho turut menzahirkan harapan beliau untuk memastikan kejayaan program itu, sekaligus mahu program seumpama itu kekal sebagai usaha mengeratkan hubungan sesama masyarakat majmuk seluruh negeri.
"Hubungan erat sesama masyarakat kita sangat harmoni dan boleh dipupuk sekaligus dikekalkan melalui elemen budaya.
"Seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini, elemen kebudayaan mempunya potensi besar sebagai penyatu atau pencetus kepada keharmonian etnik seluruh komuniti, walaupun berbeza kaum, bangsa dan agama," katanya lagi.
Program itu turut mempersembahkan keunikan kebudayaan pelbagai etnik khasnya melalui tarian seperti etnik Bugis, Toraja, Dayak Kenyah dan Arab.