Simbah cat, polis berkas dua pemeras hutang


Dua suspek peras ugut peminjam AhLong ditahan polis


TAWAU: Polis memberkas dua suspek dipercayai menjalankan kegiatan mengugut peminjam wang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek lelaki warga tempatan itu ditahan di kawasan Felda Umas, Kalabakan, kira-kira pukul 10.00 malam.

"Kedua-dua suspek masing-masing berumur 29 dan 31 tahun mereka diberkas berikutan pihak polis menerima satu aduan daripada seorang lelaki berumur 27 tahun yang memberitahu bahawa pintu dan dinding rumah mangsa telah disimbah cat merah oleh seorang individu yang tidak dikenali pada 24 Ogos lalu di rumah kediaman mangsa di Batu 6, Jalan Apas, Tawau," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan di laman media sosial pagi Rabu.

Menurutnya, individu tersebut telah meninggalkan satu pesanan di sehelai kertas serta menulis nombor telefon, nama dan nombor kad pengenalan mangsa untuk menyelesaikan hutang.

“Suspek turut meninggalkan pesanan suara dengan ugutan untuk membakar kereta pengadu dan keluarganya serta mengugut bahawa mengetahui kedudukan mangsa.

“Hasil siasatan awal kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, polis turut menjumpai sebiji botol kosong dengan kesan cat merah, hasil pemeriksaan kenderaan suspek.

"Di botol itu ada sehelai kertas notis amaran ‘bayar hutang’ beserta pen merah yang disimpan di dalam but belakang kereta suspek.

"Siasatan juga mendapati kejadian disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang online (Ah Long) untuk menuntut mangsa membayar semula hutang dengan mengupah suspek," jelasnya lagi.

Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa suspek berusia 29 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah di daerah Kinabatangan.

Kedua-dua suspek direman sehingga 30 Ogos dan kes disiasat mengikut seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951.






Terbaru Lebih lama