Terima suapan RM120 ribu, tiga penguatkuasa ditahan lindungi penyeludup rokok


Suspek tahanan SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret pada pagi Ahad


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman tiga pegawai penguatkuasa sebuah jabatan di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 16 Ogos 2024 terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia 30 hingga 40an dikeluarkan Majistret, Aslianlydia Asneh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada pagi Ahad.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan kira-kira pukul empat petang hingga 11 malam, dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Sabah di Pekan Keningau.

“Tangkapan terbaharu yang melibatkan dua lagi pegawai penguatkuasa ialah tangkapan susulan daripada tangkapan seorang pegawai penguatkuasa sebelum ini berkaitan kes yang sama, iaitu disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan itu.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini (Ogos 2024),” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama