1 maut, 1 cedera kereta jatuh gaung di Bukit Kopungit

Gambar ihsan bomba

KOTA KINABALU– Seorang maut dan seorang lagi cedera setelah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu jatuh ke gaung dalam satu kemalangan di Bukit Kopungit Vantage Point, Jalan Bukit Perwira, di sini pada malam Sabtu.

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang, Bianus Bin Asai, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan manakala pemandu, Genol Bin Lopidi, 62 tahun, mengalami kecederaan selepas tersepit di dalam kenderaan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.17 malam berhubung kejadian itu.

“Sebuah kereta jenis Toyota Hilux Rouge dilaporkan terbabas sendiri lalu jatuh ke gaung sejauh 30 meter dan terdapat dua mangsa berada dalam kenderaan tersebut.

“Seorang orang mangsa tersepit dan seorang mangsa tercampak keluar. Pasukan Bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Mangsa yang meninggal dunia disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 oleh pasukan EMRS untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan 14 anggota bomba bersama tiga jentera dan bantuan daripada PDRM dan KKM.

“Pasukan Bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tidak ada bahaya lain yang wujud dan operasi di tamatkan pada jam 12.21 malam,” katanya.

.
Terbaru Lebih lama