10 terselamat termasuk bayi, van terbabas di Kundasang

Gambar ihsan bomba


RANAU– Sepuluh individu terselamat termasuk seorang bayi dalam satu kemalangan apabila sebuah van terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter di kawasan berhampiran Nickgold Resort, Kundasang, di sini pada Khamis.

Menurut Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ranau, Ridwan Mohd Taib, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat berkata, seramai lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan (EMRS), pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 8.21 malam.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah van telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung. Terdapat 10 mangsa dalam kenderaan tersebut, dengan sembilan daripada mereka mengalami kecederaan ringan manakala seorang mangsa warga emas tersepit di dalam van,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Ranau menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat berakhir pada jam 9.50 malam, kes diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Terbaru Lebih lama