20 kes pokok tumbang dilaporkan dalam tempoh 24 jam di Sabah


Anggota Bomba bertungkus-lumus mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya selepas hujan lebat, di sini, semalam. 

KOTA KINABALU – Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa daerah di Sabah menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang, di sini sejak semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaporkan sebanyak 20 kes pokok tumbang yang diterima dalam tempoh 24 jam terakhir.

Kes terbanyak dilaporkan di Kota Belud dan BBP Lintas dengan masing-masing mencatatkan empat kes, diikuti daerah Penampang dan Kudat dengan masing-masing tiga kes, Kota Kinabalu dua kes, manakala Tuaran, Tenom, Sook, dan Tawau masing-masing melaporkan satu kes.

“Orang ramai diminta untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di luar rumah, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Bomba juga menasihatkan agar semua penduduk negeri ini sentiasa mengawasi ahli keluarga, khususnya kanak-kanak dan warga emas, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Terdahulu, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di negeri ini meliputi beberapa daerah di pedalaman dan kebanyakan kawasan Pantai Barat Sabah.
Terbaru Lebih lama