3 buah rumah musnah dijilat api di Tawau

 

Gambar ihsan bomba 

TAWAU– Tiga buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau, Sabah, di sini pada awal pagi Jumaat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin bin Ujin, panggilan kecemasan telah diterima melalui talian MERS 999 pada pukul 1:35 pagi.

Seramai 16 anggota bomba dari BBP Tawau digerakkan dalam operasi pemadaman ini dengan bantuan jentera FRT dan sebuah tangki air.

Operasi pemadaman segera dimulakan menggunakan satu aliran dan dua pancutan sejauh 200 kaki dengan sumber air diambil dari tangki jentera.

"Kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah seluas 40x20 kaki persegi itu berjaya dikawal pada pukul 2:01 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2:31 pagi.


"Bagaimanapun, kesemua rumah tersebut terbakar 100%, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini" katanya dalam satu kenyataan media.

Agensi lain yang turut membantu dalam operasi ini termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud selepas kebakaran dipadamkan.

Terbaru Lebih lama