40 buah Rumah Mesra SMJ dibina di setiap DUN tahun depan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan kunci rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada Irwan Bakir,46 di Kampung Guruh-Guruh, Sipitang.

SIPITANG: Pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah akan ditingkatkan kepada 40 buah rumah pada tahun hadapan berbanding 20 buah pada tahun sebelumnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah keseluruhan pembinaan kira-kira 3,000 unit rumah bagi membolehkan lebih ramai golongan miskin tegar yang belum memiliki rumah mendapat bantuan itu.

“Sebelum ini kita beri setiap kawasan DUN sebanyak 20 Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar, tetapi pada tahun depan kita akan tambah daripada 20 kepada 40 buah rumah.

“Ini kerana kita tahu ramai lagi yang tiada rumah dan perlu kita bela. Kita akan usahakan 3,000 rumah tahun depan untuk mereka yang dalam kategori miskin tegar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di Dataran QSS sini, hari ini.

Tambah Hajiji, inisiatif itu bersama banyak lagi inisiatif lain termasuk berkaitan pembangunan modal insan hanya berlaku dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus.

"Pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinannya dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.

“Kerajaan pimpinan pembangkang sebelum ini tidak melaksanakan sebarang inisiatif yang menjurus kepada membela nasib rakyat kerana lebih menumpukan kepada mencari kesalahan kerajaan dan pemimpin terdahulu." katanya

Terbaru Lebih lama