74 keluarga tinggal sehelai sepinggang, 44 rumah terbakar di Penangah, Tongod

Foto Ihsan Bomba

TONGOD: 74 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas 44 buah rumah hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Penangah, Tongod, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba (PPB) Nurul Azlan Shah Jamaludin berkata pihaknya telah menerima panggilan pada jam 7.24 malam berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba Kinabatangan dibantu empat anggota bomba dari Balai Bomba Beluran bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

Operasi turut disertai lima anggota bomba sukarela, lima anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), lima pasukan RELA dan dua kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA).

"Anggaran sebanyak 44 buah rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal terbakar dengan keluasan tiga ekar termasuk sebuah kenderaan telah musnah 100 peratus," katanya.

"Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 900 kaki, manakala dua pancutan diperolehi daripada sumber air terbuka.

Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.30 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 7.10 pagi, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Terbaru Lebih lama