Ab Jamal beri inspirasi kepada masyarakat Sepanggar - Mustapha Sakmud

Datuk Ab Jamal Tun Sakaran Dandai menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

KOTA KINABALU: Kejayaan Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Ab Jamal Tun Sakaran Dandai dalam memimpin Masjid Bandaraya sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M dianggap sebagai satu inspirasi dan juga kebanggaan bagi jemaah dan seluruh masyarakat di Parlimen Sepanggar.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud dalam ucapan tahniahnya kepada Datuk Ab Jamal mengatakan banyak perubahan positif yang dibawa dalam kepimpinan beliau sehingga berjaya menjadikan Masjid Bandaraya sebuah institusi yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat.

"Di bawah pimpinannya, masjid ini telah berkembang menjadi institusi masyarakat yang dinamik, memupuk nilai-nilai perpaduan, pendidikan, dan kebajikan,” katanya.

“Kejayaan beliau dalam membawa masjid ini menjadi pusat yang mengukuhkan perpaduan ummah dan menjadi wadah untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat membuktikan komitmennya kepada pembangunan sosial yang inklusif.

Katanya, Masjid Bandaraya kini juga berperanan dalam membantu pembangunan ekonomi umat Islam, berfungsi sebagai tarikan pelancongan Islam yang mengukuhkan imej Sabah sebagai destinasi mesra Muslim.

“Dengan kedudukannya yang strategik dan keindahan seni binanya, Masjid Bandaraya telah berfungsi sebagai tarikan pelancongan Islam, mengukuhkan imej Sabah sebagai destinasi mesra Muslim di mata dunia sekali gus memainkan peranan penting dalam memajukan umat Islam terutamanya dalam aspek keusahawanan.

“Melalui sokongan kepada usahawan tempatan, masjid ini bukan sahaja menjadi pusat keagamaan malah juga menjadi platform yang membina ekonomi Islam di peringkat akar umbi di mana usahawan-usahawan Muslim dapat menjana pendapatan serta mengembangkan jaringan perniagaan melalui program-program ekonomi yang dianjurkan,” katanya.

Datuk Ab Jamal Tun Sakaran Dandai menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada isnin.
Terbaru Lebih lama