Aktiviti mandi manda bertukar tragedi, pelajar sekolah ditemui lemas


 Remaja 14 tahun meninggal dunia akibat lemas. (Foto Ihsan Bomba)

KOTA KINABALU– Aktiviti mandi manda sekumpulan pelajar sekolah bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas di sebuah tasik berdekatan Residensi Menggatal, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 tengah hari berhubung kejadian tersebut.

Seramai 13 anggota bomba dan empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kejadian melibatkan dua orang mangsa lemas di dalam tasik semasa menjalankan aktiviti mandi manda bersama rakan-rakan yang lain seramai 20 orang pelajar SMK Tebobon. Seorang mangsa berjaya diselamatkan dan diberikan bantuan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) oleh rakan mangsa sehingga sedar.

“Mangsa kedua iaitu Hazwi Danial A. Rashid, 14, telah dijumpai oleh pasukan bomba di kedalaman 10 kaki pada jam 2.48 petang dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 2.53 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.


Terbaru Lebih lama