Azis tegaskan anak-anaknya penuhi syarat permohonan biasiswa


KOTA KINABALU- Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menegaskan anak-anaknya memenuhi syarat permohonan bagi mendapatkan biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, sebagai seorang pemimpin, Ketua Menteri harus memastikan bahawa semua rakyat Sabah, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik, harus mendapat layanan yang adil.

“Saya ingin menekankan bahawa permohonan biasiswa anak-anak saya telah memenuhi syarat minimum yang ditetapkan untuk diberi kelulusan.

"Jika anak-anak saya tidak memenuhi syarat, walaupun dengan sokongan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, saya yakin ia akan ditolak oleh Jabatan Biasiswa,” kata Azis dalam satu kenyataan media.

Azis memuji usaha kerajaan negeri dan kakitangan bahagian biasiswa yang telah memproses permohonan tersebut dengan baik, serta menyatakan penghargaan atas kesediaan Hajiji untuk mencatatkan "OK, Sila Pertimbangkan" pada permohonan tersebut.

Walaubagaimanapun, dalam pada itu Azis turut menegur Hajiji kerana mempolitikkan isu pemberiaan biasiswa kepada anak-anaknya.

"Perlu diingatkan kepada Hajiji bahawa apabila saya dan keluarga saya berjumpa dengannya, kami tidak datang sebagai lawan politik, tetapi sebagai ibu bapa dan warganegara yang menggunakan hak kami untuk mendapatkan sokongan pendidikan bagi anak-anak kami.

"Isteri saya bukan seorang ahli politik, dan anak-anak saya tidak sepatutnya dijadikan bahan permainan politik."

Azis menyeru agar pendidikan dilihat sebagai hak asas setiap anak Sabah dan tidak dipolitikkan berdasarkan fahaman politik.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam, terutamanya di Jabatan Biasiswa, atas bantuan mereka dalam memastikan pendidikan anak-anaknya dapat diteruskan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang terlibat, kerana tanpa usaha mereka, sokongan pendidikan ini mungkin tidak dapat direalisasikan,” tambah Azis.
Terbaru Lebih lama